Mengenang kembali saat-saat aku menerima berita tentang pemergian arwah Ariff melalui sms yang dihantar oleh Rais yang berbunyi;
"Selesai akad, dlm perjalanan pulang, ariff Notts,bapa,ibu dan seorg kawannya dlm sebuah kereta telah dilanggar oleh sebuah bas. Semua 4 mereka meninggal dunia. Innalillah wainna lillahi rojiuun."
Tersandar aku di kerusi, termenung jauh menembusi dinding cuba menghadam maksud sms tersebut walaupun tiada apa yang tersirat pun di dalam mesej tersebut, semuanya tersurat belaka. Beberapa ketika kemudian barulah bibir aku mampu melafazkan 'innalillahi wa innalillahi raji'un' seraya aku menyedari pipi sedikit dibasahi air mata. Allahuakbar!
Aku menulis entri ini bukanlah untuk meratapi pemergiannya meninggalkan dunia.
Aku mengenali Ariff ketika berada di bumi United Kingdom sekitar tahun 2007 atau 2008. Tidak berapa aku ingat bilakah pertama kali aku bertemu dengannya, tetapi yang aku tahu aku bertemu dengannya lebih dari 10 kali sepanjang perkenalan aku dengannya walaupun Ariff belajar di Nottingham dan aku pula belajar di Manchester. Kali terakhir bersua dengannya adalah pada awal November baru-baru ini. Aku bukan orang yang terbaik untuk bercerita tentang Ariff, tetapi yang aku tahu beliau merupakan seorang yang berjiwa besar kerana semenjak perkenalan aku dengannya, beliau berusaha bersungguh-sungguh untuk meletakkan kepentingan dirinya hanya selepas kepentingan islam, ya aku sangat pasti akan perkara ini. Semoga Allah merahmati kehidupannya di dunia, menerima segala amalannya dan mengampuni kesilapan-kesilapannya.
Ariff, paling kiri. Meninggal bersama-sama ibubapanya dan seorang rakannya di dalam sebuah kemalangan
Umurnya 23 ketika Allah memanggilnya kembali. Umur aku 24. Umur kau 24 juga. Umur kau 22. Umur kau 26. Umur kau 30. Engkau 43. Engkau 18. Engkau pula 27. Takwa lah yang akan menyelamatkan diri dari tertipu dengan umur dunia. Jika kita hebat berbahas tentang realiti dan idealiti, sedarkah kita yang kita sering terlupa dengan realiti iaitu mati itu pasti dan mati itu datang tanpa amaran. Seorang sahabat Rasulullah S.A.W. menjelaskan makna takwa itu seperti seorang lelaki yang melalui jalan-jalan yang penuh berduri, maka berhati-hatilah lelaki tersebut dalam setiap gerak langkahnya.
Aku tidak kisah mati pada umur berapa kerana realitinya umur-umur bahagia yang dicari bukanlah sekadar di dunia tetapi yang dikejari ialah umur kebahagian di akhirat kelak. Yang aku kisah adakah aku mati dalam keadaan sedang berhati-hati dalam gerak langkah aku dalam menyusuri denai dunia, takut terpijak tahi maksiat, terpijak perangkap samar riak & takabbur, takut terpijak kecintaan kepada hidup dunia & harta, takut terpijak umpat keji saudara-saudari dan takut terajak manusia lain kepada keburukan & kejahilan. Aku harap kita sama-sama menanam keinginan ini pada saat ini juga! Sekarang juga! Jika masih belum bercambah dalam hati masing-masing, semaikan perasaan itu dan jangan risau ia pasti memakan masa yang lama untuk berbunga mekar, yang penting usaha itu mesti ada.
Teringat lagi aku akan kisah sahabat Rasulullah S.A.W., Hanzalah yang menyahut seruan jihad Nabi Muhammad S.A.W. sedangkan beliau baru sahaja menikahi isterinya. Sungguh beruntung si isteri kerana redha dengan ketentuan Allah Ta'ala, menerimanya dengan sabar walaupun perit. Ya Allah berilah kekuatan kesabaran kepada ahli keluarga Ariff, isteri & ahli keluarga isteri Ariff.
Allah berfirman, "Allah BERSAMA orang yang sabar"
Pada aku, kita yang di dunia menyaksikan pemergian yang sedih atas permegian Ariff, tetapi pada pandangan Ariff barangkali, itulah pemergian yang paling beliau idamkan-idamkan. Semoga Allah menempatkan beliau bersama para solihin yang beruntung di syurga Allah. Oh, syurga Allah!!
4 comments:
mati itu satu kemestian, bila dan bagaimana kematiannya tidak kita ketahui..takut ku ya Allah kerana amalanku tidak mencukupi semasa menemuiMu nanti..tapi sayangku tetap padaMu jua...
sentiasa la kita bermuhasabah diri dan mengingati Allah setiap saat selagi nyawa ada di badan..insyAllah kita akan ditempatkan bersama-sama mereka yang dikasihi Allah..
semoga menjadi tazkirah kpd yg masih hidupppp..
begitulah, seperti yang ditazkirahkan di bandar M, UK baru2 ni - dalam hidup kita, hanya satu benda sahaja yang pasti iaitu kematian. yang lain - perkahwinan, exam, grad, keje, buat phd, naik pangkat, etc - adalah benda yang tak pasti.
sepatutnya, sebagaimana hebatnya kita membuat persiapan untuk perkara2 tersebut, persiapan untuk kematianlah yang paling hebat. kerana ia adalah benda yang pasti dalam hidup kita.
bagaimana pengakhiran yang kita mahukan? mulakan dari sekarang - dengan memahami dan mengamalkan islam serta mengamalkan sunnah ar rasul (dakwah, tarbiyah, jihad, etc).
begitulah, dakwah dan tarbiyah (d&t) antara persiapan kematian yang sangat cantik. ingatlah 3 perkara yang akan terus bersama kita selapas mati, kerana ia adalah dalam ruang lingkup d&t. =)
terpanjang pulak komen, macam entry plak jadinye...maaf ye encik P...hehe...
Jarang menemui Arif di UK. Tapi sudah mengetahui orangnya sejak zaman sekolah,tahu akan hidup undergradnya yang penuh aktiviti tarbiyah & da'wah, tahu akan peribadinya sebagai anak yang taat kepada ibu bapa sampai terkenal di kalangan jiran2 (rumah sepupu di belakang rumahnya). Untungnya dia, Allah mengambilnya selepas fasa hidup yang penuh kebaikan. Kita?Tak tahu mcm mana..
Post a Comment