Pages

Tuesday, November 30, 2010

Islamkah kita seperti keislaman al-Hasan al-Basri?

.....

Seorang tabi'en bernama al-Hasan al-Basri menghadirkan diri ke sebuah majlis perasmian yang dianjurkan oleh pihak berkuasa di bawah pemerintahan gabenor al-Hajjaj di Basrah. Gabenor al-Hajjaj merasmikan bangunan indah & hebat yang baru dibinanya. Di kesempatan ramainya penduduk bandar hadir ke majlis tersebut, al-Hasan ingin menggunakan sebaiknya peluang yang ada untuk menyampaikan dakwah & peringatan kepada penduduk bandar.

Maka berdirilah al-Hasan di khalayak ramai lalu memberikan ucapannya. Ucapannya berbunyi peringatan tentang adanya pemerintah-pemerintah zaman dahulu yang kejam & tidak tunduk pada Allah, lalu mereka membina bangunan-bangunan yang hebat tetapi mereka itu hancur sama sekali di kemudian harinya. Al-Hasan juga menempelak pembinaan bangunan ini dan mengatakan perbuatan al-Hajjaj ini sudah melampau.

Maka kemudiannya mengamuklah al-Hajjaj kepada pembantu-pembantunya yang pengecut kerana tidak tampil menghalang perbuatan al-Hasan tempoh hari. Lalu al-Hajjaj menyuruh orangnya memanggil al-Hasan untuk menghadapnya di istananya supaya dihukum bunuh.

Ketika al-Hasan mendatangi istana al-Hajjaj dan melihat alas & pedang yang siap sedia untuk memancungnya, al-Hasan pun terkumat-kamit membaca sesuatu. Al-Hasan terus melangkah tenang tanpa riak muka yang takut malah gayanya tetap berkeyakinan. Tidak ada rasa gentar pun pada raut wajah al-Hasan apatah lagi dalam tindak-tanduknya.

Sebaliknya apabila berhadapan sahaja al-Hasan dengan al-Hajjaj, al-Hajjaj pula yang terus merasa gementar melihat keadaan al-Hasan yang tidak takut malah tenang. Lalu terus al-Hajjaj menanya beliau tentang persoalan-persoalan agama. Dan akhirnya al-Hajjaj mengiktiraf al-Hasan sebagai ulama' dan membebaskan beliau sambil membekalkan beliau dengan hadiah untuk dibawa pulang.

Ketika berlalunya al-Hasan dari singgahsana al-Hajjaj, seorang pembantu al-Hajjaj menyapa al-Hasan. Pembantu itu berkata, "Pada asalnya Tuan al-Hajjaj memanggil tuan (al-Hasan) untuk menguruskan perkara lain. Dan saya juga ada soalan. Tadi saya nampak tuan terkumat kamit, apa yang tuan baca?"

Al-Hasan menjawab, "Saya berdoa, Ya Allah selamatkanlah aku seperti mana Engkau menyelamatkan Ibrahim dari kekejaman Namrud dahulu." 

.....

Pyanuddin al-Helmy, Badr

No comments: