Seperti keramaian, aku memang tidak suka weekdays. Tapi ada weekdays yang aku suka iaitu weekdays yang ada perlawanan bola sepak Champions League, penuh bersemangat. Dengan dendangan lagu tema champions league yang boleh meremangkan bulu tengkuk kerana keterujaan tahap tertinggi sambil membayangkan kain rentangnya dikibarkan anak-anak remaja di tengah padang sebelum perlawanan bermula – memang benar-benar mengujakan.
Kibaran bendera Champions League
Tambahan, pasukan yang aku sokong
selalu menang. Paling koman, seri. Oleh kerana jarang kalah, hari-hari selepas perlawanan yang biasanya hari Selasa dan Rabu, tetap akan aku jalani dengan gembira dan riang, sebab pasukan aku menang. Kalau seri, aku riang juga, asalkan tak kalah.
Keterujaan aku pastinya di bawa keluar – berbual dengan rakan-rakan serumah, kawan-kawan sekelas tidak kira muslim atau non-muslim berkenaan perlawanan.
Katakanlah perlawanan pasukan aku hari Rabu, pukul 745 malam. Setengah jam awal kena kasi warm up, setengah jam lepas perlawanan tu nak kasi cool down termasuk dengar temu ramah manager, pemain lainnya dan juga analisis pundit-pundit yang ada. Tapi aktiviti makan boleh diteruskan. Makan sambil tonton perlawanan. Dengan itu kalau ada perancangan aktiviti yang mengambil masa perlawanan ni, akan aku elak menyertainya walaupun aktiviti itu bermula pada 10 minit terakhir perlawanan atau dijangka tamat 5 minit selepas perlawanan bermula. Aku kena tonton perlawanan full as a piece. Mungkin ada juga keadaan aku kena join aktiviti tu, tapi aku rasa aku memang pergi dalam keadaan hati yang tertutup. Itupun kalau terpaksa pergi.
Lupa pula, aku adalah seorang pelajar. Maka ada hari aku sibuk. Kadang-kala aku sibuk berminggu-minggu. Maka untuk mengelak dari terlepas dari menonton perlawanan, ataupun menonton dalam kecuakan sebab kerja tidak siap, aku akan rancang jadual aku elok-elok. Katakan perlawanan pada 745pm hari Selasa, aku sudah reserve siap-siap hari Isnin untuk aku siapkan assignment aku supaya Selasa dapat tonton dengan gembira, Rabu boleh submit. Hari Isnin hari pulun assignment, jangan kacau! Kadang-kadang kerja melambak, maka aku reservekan weekend sebelum itu untuk siapkan assignment, supaya Selasa boleh tonton bola dengan riang, esoknya Rabu submit assignment dengan bergaya dan cemerlang. Dai’e kan kena cemerlang dalam mata pelajaran juga, bukan di medan dakwah dan usrah sahaja.
Eh lupa nak bagitahu, walaupun aku tonton bola, tapi aku join usrah, bawa usrah, buat program dakwah dan tarbiyyah, ajak orang ke masjid dan sebagainya. Alhamdulillah, kira aku ni dai’e lah.
Nani, pemain Manchester United kegemaran aku sejak akhir ini
Lupa lagi sekali nak bagitahu, aku peminat hard core Manchester United, The Red Devils. You know what I mean, I am United, through and through and through. Belajar pula di Manchester, fuhh, memang mendalam sokongan aku padamu Manchester United.
Em, tapi itulah, baru-baru ni Manchester United kalah dengan Basel FC dalam peringkat kumpulan lalu menyebabkan Manchester United tidak layak beraksi ke peringkat seterusnya. Kali pertama dalam sejarah bertahun-tahun Man United tidak pernah tidak melepasi peringkat kumpulan. Tapi tahun ini, takdir menentukan. Bye bye Champions League 2011-12. Memang aku kecewa. Nak buat macamana, dah tersurat dalam Luh Mahfuz.
Tiba-tiba juga aku rasa macam Sky TV yang aku subscribe sudah tidak lagi serve the purpose, sebab asalnya adalah untuk tonton Man United beraksi di Champions League. Kini, 25 pound sebulan aku tidak lagi berguna. Tapi okla jugak, sebab sewa Sky TV ni sekali dengan broadband dan line telefon. Tapi, tapi kalau aku guna broadband O2 kan lagi murah. Dah la aku pengguna setia line handphone O2, sepatutnya boleh dapat 6 bulan percuma lagi kalau ambil broadband O2. Nak buat macamana, perkara dah lepas. Tahun depan, rancang elok-elok dengan bijaksana berlandaskan Quran dan Sunnah (huh, macamana tu?)
Kini, usrah aku sudah ditetapkan pada hari Rabu, tidak lagi pernah bertukar, semenjak tersingkirnya Manchester United dari Champions League. Bolehlah naqib aku buat usrah lagi satunya pada hari Khamis yang mana selalunya usrah aku adalah pada hari Khamis sebelum United tersingkir. Dulu, kadang-kadang usrah aku tidak tetap harinya sebab aku selalu minta tukar hari dengan alasan assignment banyak pada hari Isnin, Selasa dan Rabu. Tapi kini tidak lagi, sebab Rabu dan Selasa tiada Champions League, tidak lagi perlu berassignment pada hari Isnin. Hujung minggu pun lengang, sebab aku gunakan seluruhnya hari minggu untuk tumpuan pada kerja selain hari Rabu yang ada usrah dan hari Khamis usrah yang aku bawa.
Ini belum kira kalau aku berada di Malaysia. Memang selalulah aku bangun Qiyam untuk tonton perlawanan pukul 2 atau 3 pagi sampailah ke subuh. Esok, pastinya hari yang lingkup.
Ah, tiba-tiba juga aku perasan yang aku sekarang tidak pernah lagi ‘ponteng’ daurah aku. Malah banyak pula masa aku untuk menjadi mas’uliyah untuk program lainnya tak kira mas’uliyah besar atau kecil.
Walaupun begitu, ada juga rasa kehilangan bila tiada Champions League. Sebab biasanya akan ramai hadir ke rumah aku menonton bersama di Sky TV. Tapi kini tiada lagi mereka untuk berukhuwah bersama. Eh mereka ni, berukhuwah sebab bola ke? Bukan ukhuwah ni sepatunya kerana Allah di atas Jalan Allah ke? Tanpa Champions League, aku semakin jelas tentang makna ukhuwah walaupun rasa boring dah tak lepak-lepak dengan mereka (penunggu tegar hari Selasa dan Rabu).
Aku gunakan masa sebaiknya untuk menziarahi adik-adik usrah. Kini baru aku sedar, sebelum ini, adik-adik banyak luangkan masa dengan aku semasa tonton bola sahaja. Masa bersama banyak, tapi ta’ruf tak mendalam langsung, memang tahap surface sahaja. Rasa macam sudah luangkan masa bersama berjam-jam setiap minggu tapi itu hasilnya. Mana tidaknya, ketika menonton bola, TV dan perlawanan yang aku fokuskan, sorakan yang dituturkan, gelak tawa dan cemuhan menjadi tazkirah. Kini bila berziarah mereka dan beraktiviti riadah bersama mereka, barulah aku mengenali mereka lebih mendalam malah memahami mereka walaupun masa yang diperuntukkan tidak lebih dari separuh masa pertama perlawanan Champions League. Kan lebih baik meluangkan masa dengan aktiviti yang penuh keruhanian dan mengembalikan kita kepada Allah.
Ah, aku juga terlupa untuk berbual tentang keadilan, islam dan kesejahteraan dengan rakan-rakan non-mulsim aku di kelas-kelas sebelum ni sebab sibuk mengulas Champions League.
Barulah aku perasan, rupa-rupanya keghairahan aku dalam perlawanan Man United di Champions League tidak mengesani kehidupan aku sahaja, malah mengesani semua orang lain juga termasuk mad’u kepada dakwah ilallah ini. Aku mengajak mereka beramai-ramai menonton di Sky TV di rumah aku menyebabkan berkurang masa mereka. Kalau aku tidak ajak, mungkin mereka hanya akan tonton di live streaming sahaja, sambil minum kopi, makan dan baca secebis dua nota. Tamat sahaja perlawanan boleh terus membaca atau buat assignment atau terus ke usrah jika ada. Tidak ada masa dibuang antaranya masa perjalanan dari rumah mereka ke rumah aku dan ketika pulang juga. Murabbi kepada adik-adik ini juga tidak susah untuk buat usrah pada hari Rabu atau Selasa, sebab mungkin kalau tidak di facilitate menonton ramai-ramai sambil riang gembira di rumah aku, mad’u itu pilih untuk ke usrah daripada bosan menonton di live streaming yang kabur itu dan mungkin tersangkut-sangkut – lebih buffering dari menonton.
Ah juga terfikir balik tentang wang aku yang menguntungkan Sky TV. Lebih baik aku serahkan kepada anak-anak di Palestin sana. Ah tidak, ampunkan aku ya Allah sebab baru aku sedar, kelak di akhirat anak-anak Palestin akan benar-benar akan tanya kepadaMu, dimanakah muslim-muslim yang sepatut membantu kami, dan kelak, benar-benar Allah akan menarik aku menunjukkan kepada anak-anak Palestin, aku lah muslim yang berkelayakan untuk bantu tapi entah kemana duit itu aku belanjakan. Lalu anak itu mempersoal, “Apa? Kau lebihkan Manchester United kau dari adik-adik kau di Palestin? Bawakkan aku Manchester United ke sini sekarang supaya aku faham apa yang ada pada mereka menyebabkan engkau mengutamakan mereka”. Ketika itu aku tahu, bahawa Manchester United tidak akan datang, apatah lagi Sky TV walaupun mereka kaya raya di dunia. Paling-paling pon berbarislah Park Ji Sung, Ryan Giggs, Van Nistelrooy, Chris Smalling hinggalah George Best dalam keadaan termangu-mangu lagi tidak tahu menahu.
Aku bersyukur, kini kurangnya ujian aku dalam meningkatkan tarbiyyah dan dakwah diri aku sendiri.
Malah aku bersyukur, kini kurangnya juga ujian aku dalam membantu meningkat tarbiyyah dan dakwah islam secara jama’i itu sendiri. Samada secara sedar atau tidak.
Barulah aku faham bila naqib aku cuba kaitkan tengok bola dengan jahiliyyah.
Tak, tak, bukan naqib aku kata bola speak itu jahiliyyah, cuma naqib aku pernah ajak berfikir apa kaitan bola sepak dengan jahiliyah. Sama macam persolaan apa kaitan tengok youtube dengan jahiliyah. Youtube pun boleh jadi medium dan bahan dakwah bukan?
Dulu aku sangka dia extreme, rupanya aku sahaja yang tidak nampak kesannya.
Aku menangis, tidak tahu what’s next. Bagaimana nak menyucikan lagi gerak kerja aku, dan menetapkan lagi kaki aku di jalan dakwah ini tanpa ada baggage-baggage yang tidak perlu yang memayahkan lagi dakwah aku dan dakwah secara jama’ie.
Tapi semalam, kawan aku kata Manchester United akan masuk Europa League. Em. Alamak. Ujian kembali ke?
Europa League ada di Sky TV tak? (Aduh. Tepuk dahi.)
## Penulis sengaja menggunakan kata ganti yang pertama (aku)
Pertama kali disiarkan di www.dakwat.org
Pyanuddin al-Helmy, SS Mansion
No comments:
Post a Comment